Monday, August 23, 2010

Permata Hatiku....

Salam semua. Dah lama rasanya tak mencoretkan sesuatu di sini. Sepanjang tengah hari sehingga ke petang tadi, saya dan adik-beradik yang lain membuat keputusan untuk mengemas rumah. Bila dah lama tak mengemas, ditambah pula pada bulan puasa ni, masing-masing memang tak larar pun menjelang lewat petang. Mujurlah ibu saya seorang yang memahami lantas perihal memasak juadah untuk berbuka diambil alih sepenuhnya oleh ibu.

Selesai solat Asar, saya akhirnya terbating lesu di atas sofa. Dalam saya ingin memejamkan mata, datang pula seorang anak buah perempuan saya yang berusia 6 tahun. Lengan kanan saya dicuitnya perlahan.
"Achik.. Achik boleh tolong Amni tak?" Soalnya dengan lembut dan manja. Dalam hati saya mula mengeluh bila melihat di tangannya terdapat sebuah buku miliknya. Ini lain tak bukan mesti nak minta tolong ajarlah tu. Huhu.
"Tolong apa?" Soal saya lemah.
"Achik tolong tengokkan Amni baca Hadith dalam buku ni boleh tak? Minggu depan, Amni ada ujian." terangnya dengan nberhati-hati. Dek dihambat rasa letih yang teramat, akhirnya saya menolak permintaannya.
"Achik penat. Lain kali saje. Tak pun, minta tolong busu ajarkan." balas saya. Wajah anak buah saya itu akhirnya berubah. Seketika kemudian, dia tersenyum sambil membaca sebuah hadis yg bermaksud "Sebaik-baik manusia adalah yang mendatangkan manfaat kepada orang lain."

Ah, terkedu terus saya dibuatnya. Namun begitu, senyuman saya terukir perlahan selepas itu. Jauh di sudut hati saya, alangkah moleknya anak kecil itu sudah dapat menghafaz beberapa potong hadis daripada membiarkan mereka menghafaz lirik lagu yang yang tidak membawa apa-apa manfaat pun. Dengan perlahan, saya akhirnya mengambil buku milik anak buah saya dan memberi perhatian terhadap proses hafazannya.

'Inilah permata hatiku yang dicari dalam diri anak-anak.' Begitulah kata kakak ipar saya, ibu kepada Amni.

1 comment:

Anonymous said...

salam.. sejuk rasa perut ni bila dapat tahu masih ada lagi orang yg ingin menghantar anak2nya ke pusat asuhan yang berunsurkan agama.. secara x langsung, duniawi dan ukhrawi dapat diseimbangkan. dan moga2 segala yg diajar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh si kecil. insyaALLAH.

Related Posts with Thumbnails