Monday, August 23, 2010

Bicara Tentang Cinta... 1


Syukur ke hadrat ILAHI kerana ukhwah yang masih lagi kukuh bersama teman-teman. Berbual dengan mereka samada melalui email mahupun telefon menggamit rasa bahagia di hati. Dan sudah tentunya topik menarik yg akan dibincangkan adalah tentang 'si dia' atau dalam erti kata lain CINTA. Bila menyentuh tentang isu inilah, ada teman yang meminta saya untuk mencoretkan sesuatu di sini.

 “Syair Arab menyebut, apabila seseorang yang


bercinta di tanya, “Apakah kau menyintai atau

sedang bercinta dengannya?”, maka

dijawabnya, “Oh, tidak…kawan sahaja atau apa

sahaja alasannya,” Ketahuilah dia seorang

pasangan KAZZAB (penipu)”

Cinta, suatu perasan yang sukar digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati secara mengalaminya sendiri. Cinta tidak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia jelmaan kasih sayang yang teragung.

CINTA, Fitrah Setiap Manusia, MANUSIA diciptakan oleh ALLAH SWT dengan
membawa fitrah (insting) untuk mencintai lawan jenisnya. Sebagaimana firman-NYA; Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi ALLAH lah tempat kembali yang baik (Syurga). (Ali Imran: 14).

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulallah s.a.w bersabda "Sesungguhnya Allah Taala berfirman pada hari kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan ku ? hari ini ku naungi mereka , dimana tidak ada naugan yang lain selain naungan ku.
 
Namun begitu, adapun cinta kepada makhlukNya, pilihlah cinta yang hanya berlandaskan kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Bukan kerana pujuk rayu syaitan, bukan pula kerana desakan nafsu yang menggoda.
Cintailah Allah, berusahalah untuk menggapai cintaNya. Menurut Ibnu Qayyim, ada 10 perkara yang menyebabkan orang mencintai Allah SWT:

1. Membaca Al-Quran dan memahaminya dengan baik.

2. Mendekatkan diri kepada Allah dengan solat sunat sesudah solat wajib.

3. Selalu menyebut dan berzikir dalam segala keadaan dengan hati, lisan dan perbuatan.

4. Mengutamakan kehendak Allah di saat berbenturan dengan kehendak hawa nafsu.

5. Menanamkan dalam hati Asma’ul Husna dan sifat-sifatnya dan memahami maknanya.

6. Memperhatikan kurnia dan kebaikan Allah kepada kita.

7. Menundukkan hati dan diri ke pangkuan Allah.

8. Menyendiri bermunajat dan membaca kitab sucinya di waktu malam ketika orang sedang nyenyak tidur.

9. Bergaul dan berkumpul bersama orang-orang soleh, mengambil hikmah dan ilmu dari mereka.

10. Menjauhkan sebab-sebab yang dapat menjauhkan kita daripada Allah.
Saling mencintailah kerana Allah agar dapat mendapatkan kecintaan Allah. Dalam hadith Qudsi Allah berfirman; “CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling mencintai keranaKu, CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling berkorban keranaKu, dan CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang menyambung hubungan keranaKu”.

Hiduplah di bawah naungan cinta dan saling mencintailah kerana keagunganNya, nescaya akan mendapatkan naungan Allah, yang pada hari itu tidak ada naungan selain naunganNya. Kesimpulan awal yang boleh dibuat di sini adalah cintailah seseorang itu hanya kerana ALLAH.

Banyak lagi sebenarnya yang ingin saya coretkan di sini tetapi memadailah untuk kali yang pertama ini. Semoga, bertemu lagi untuk ruangan yang seterusnya. Wassalam..

p/s:Buat mereka yg ingin melihat isu ini dikongsikan bersama, semoga berpuas hati untuk episod pengenalan ini.. ;)

No comments:

Related Posts with Thumbnails