Thursday, August 12, 2010

Saat keluhan itu...


Salam. Bertemu lagi di ruangan sepintas lalu. Tiada ucapan yang dapat diluahkan selain Alhamdulillah kerana dengan kesihatan tubuh badan yang diberi oleh Allah S.W.T kepada kita kerana dapat bertemu dengan Ramadhan pada kali ini. Hari ini, sudah masuk hari yang ke-2 kita berpuasa. Dan saya masih lagi cuba mencari masa yang terluang untuk mencoretkan sesuatu di blog ini.


Kadangkala, bila dibelenggu dengan bebanan kerja yang tidak pernah habis membuatkan saya mengeluh sendiri walaupun sedar perbuatan mengeluh ini dikutuk oleh agama. Orang kata, kalau kerja dah habis tak payah datang kerja lagi. Betul juga tu. Keluhan sentiasa tercetus di bibir ini bila melihat kerja-kerja yang masih tertangguh dan seringkali juga tahap kesabaran ini hampir sampai ke tahap maksimumnya.

Namun begitu, saya perlu berterima kasih kepada beberapa sahabat yang tidak jemu-jemu memberikan harapan saat saya hilang keyakinan. Kata-kata mereka terpahat terus di dalam hati ini.

“Mar, kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Jauhilah perbuatan mengeluh. Jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lepas dengan mendekatkan diri kita kepadaNya.”

Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda,: “Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang.” Dan sabdanya pula, “Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka.” (Riwayat oleh Imam Majah.)

Ah, terasa kerdilnya diri ini dan begitu alpanya saya dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada saya selama ini.

Sebelum berpamitan dengan mereka di talian, sempat pula mereka bergurau dengan saya. “Terawih dan tadarus. Jangan ter lain sudahlah.”

Lalu saya pun bertanya. “Ter apa?”

“ Jangan tertengok benda yang lagha sudah.” Jawab mereka sambil tergelak manakala saya pula sekadar tersenyum.

Hanya ucapan terima kasih yang dapat saya berikan kepada mereka untuk segala nasihat dan dorongan. Semoga kita semua dijadikan sebagai hamba Allah yang sabar dan tenang dalam menghadapi segala ujian lebih-lebih lagi di dalam bulan yang mulia ini. ;-)



p/s: Dulu kira duit orang, sekarang ni kira juzuk yg telah dibaca ..;-)

No comments:

Related Posts with Thumbnails