Tuesday, October 12, 2010

Kisah anak berkerjaya sekarang...

Majlis perkahwinan? Sememangnya dinantikan oleh bagi sesiapa jua yang telah bersedia untuk melangkah ke gerbang itu. Tidak ketinggalan juga buat saudara-mara yang tinggal berjauhan kerana dapat bertemu dengan sanak saudara yang lain. Kira macam mengambil kesempatanlah. Tapi, itu bukanlah cerita utama untuk post kali ini. Apa yang menarik perhatianku adalah perbualan beberapa orang anak yang telah berjaya dalam hidup dengan ibu-ibu yang berada di situ.

"Cermin mata Anjang ni dah kena tukarlah. Anjang tanyalah anak-anak Anjang siapalah yang nak tukar cermin mata mak ni agaknya." kata seorang mak cik yang berniat untuk bergurau sahaja. Sekadar berkongsi cerita. Namun, keadaan berubah sebaliknya bila salah seorang wanita yang jauh lebih muda menjawab.

"Hah, nilah yang mak-mak ni semua tau. Asyik minta dan harapkan duit anak-anak saje. Mak-mak ni kena faham dengan kewangan anak-anak. Banyak nak pakai duit. Susu anak lagi, buku anak-anak, bil itu bil ini."

"Anjang kan ada duit pencen. Nak harap duit anak-anak buat apa?" Sambung wanita itu lagi. Aku yang sedang  mengupas bawang bersama dua lagi saudara yang lain hanya mendiamkan diri.

"Eh, Anjang cakap saje. Anjang memang selalu gurau dengan anak-anak Anjang. Siapa yang nak belanja makan? Siapa yang nak bawa pergi holiday. Yang kau pula beria-ia nak marah kenapa?" balas mak cik yang bernama Anjang. Suasana mula tegang di situ.

"Tak adalah. Orang cuma cakapkan bagi pihak anak-anak. Hah, mak-mak ni semua kena ingat, jangan harapkan sangat duit anak-anak. Saya besok kalau dah tua, saya takkan susahkan anak-anak saya." tukas wanita tadi bersama nada yang sedikit tinggi.

"Eh, apa yang kau cakap ni? Anak-anak kau dengar tau apa yang kau cakap ni." sampuk seorang lagi wanita adik kepada wanita yang sedang marah itu.

"Betul apa yang adik kau cakap tu. Utih sekarang pun dah tak bekerja. Pada anak-anak sajelah tempat Utih mengharap." sampuk seorang lagi mak cik yang berada di situ. Wanita tadi hanya menggelengkan kepalanya lantas meninggalkan ruang dapur.

Aku pula yang termangu dan berfikir sendiri? Kenapa seorang anak yang telah berjaya begitu berkira dengan seorang insan yang bergelar ibu? Berapa ribu dia sudah berhabis untuk ibunya sehingga dia melenting sebegitu? Setahu aku, setiap susu ibu yang mengalir masuk ke dalam mulut anaknya sejak dilahirkan lagi tidak mampu dibalas walau sedikit pun oleh anak-anak. Ah, anehnya orang zaman sekarang. 

"Biarlah anak aku tak kaya. Yang penting, dia tau hargai pengorbanan aku untuk dia dari dulu." kata mak cik yang bernama Utih tadi. Ya, ada benarnya apa yang dikatakan itu. Buat apalah mempunyai anak yang memiliki segala-galanya tetapi cetek pengetahuan dalam soal agama. Dengan ibu sendiri pun ingin berkira? Terasa sebak pula aku bila mengingat kembali kejadian yang telah berlaku. Dan berkali-kali jugalah aku mengingatkan diriku supaya tidak terlalu lalai dengan segala nikmat di dunia yang hanya pinjaman ini. Keredhaan ALLAH  dan keredhaan kedua orang tuaku lebih utama.

Berbakti kepada kedua orang tua merupakan salah satu amal salih yang mulia bahkan disebutkan berkali-kali dalam Al Quran tentang keutamaan berbakti pada orang tua. Allah Ta’ala berfirman: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa.” (An Nisa: 36).
Untuk wanita yang telah melenting itu, aku berharap agar satu hari nanti dia akan sedar akan keterlanjuran kata-katanya itu. Memang kos hidup sekarang terlalu tinggi namun begitu kita perlu ingat bahawa walaupun hanya mendapat RM 100, tak semua nilai RM 100 itu milik kita. Jasa ibu dan ayah tidak ternilai tingginya. Fikir-fikirkanlah....
Wassalam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails